Tuhan Menyertai Saya

Tuhan Menyertai Saya

PERGI KEPADA SEGALA BANGSA DI MANA-MANA DAN JADIKANLAH MEREKA PENGIKUT-PENGIKUTKU … AKU AKAN MENYERTAI KAMU SELAMA-LAMANYA

Salah satu daripada keinginan-keinginan saya semasa saya masih mengikuti kursus Diploma di Universiti ialah supaya saya boleh menjadi alat bagi menyebarkan Injil Tuhan Yesus Kristus selepas tamat pengajian. Walau bagaimanapun saya jarang sekali menjangkakan bahawa Allah akan mengirim saya ke Sarawak. Benar, dalam doa, saya pernah menyatakan kerelaan saya bekerja untuk Tuhan di mana-mana saja. Lagipun Roh Kudus sentiasa berbisik-bisik menyakinkan saya akan panggilan Tuhan. Namun Sarawak masih di luar jangkaan.

Tidak ada murid yang lebih besar daripada gurunya, dan tidak ada hamba yang lebih besar daripada tuannya. Bolehkah belanga menyoal pembuatnya? Tentu tidak. Dia yang mahakuasa paling mengetahui. Siapa yang Dia panggil, Dia juga akan lengkapi dan sertai. Apa yang Allah perintahkan, Allah juga sempurnakan. Allah tidak pernah memberikan sesuatu kerja kepada sesiapa tanpa mengurniakan kekuatan orang itu untuk melakukannya.

Tiga tahun sudah berlalu. Kini tahun keempat saya berkhidmat di Bumi Kenyalang. Sepanjang tiga tahun di Sarawak, Allah menyertai saya. Sebarang kerja yang Dia amanahkan kepada saya, Dia juga mengurniakan kekuatan dan kebijaksanaan untuk mengendalikannya. Saya hanya menyerah dan menurut. Teringat saya akan murid-murid yang menyerahkan dua ekor ikan dan lima ketul roti kepada Tuhan Yesus, dan bagaimana Tuhan Yesus menggunakan pemberian itu untuk memberkati lima ribu orang yang sedang mengikutNya. Sepanjang beberapa tahun ini, Tuhan Yesus telah menggunakan hambaNya untuk memberkati beratus-ratus murid sekolah di Bhagian Kedua ini.

Tuaian di ladang Tuhan sudah menguning, tetapi pekerja yang menuai hanya sedikit. Orang-orang yang mendahagakan Firman Tuhan begitu ramai. Seperti domba-domba yang sesat, tiada penggembala untuk memimpin mereka. Relakah kita kalau Tuhan memanggil kita memimpin domba-dombaNya?

Sepanjang beberapa tahun ini saya telah menyaksikan bagaimana Allah mengirim pekerja-pekerjaNya ke tempat-tempat yang strategik di Bahagian Kedua ini. Saya percaya RohNya ke atas segala ciptaan dan perbuatan tanganNya. Sesungguhnya allah sudahpun mencurahkan RohNya. Ini permulaan saja. Mahukah kita melihat hari kemuliaan Tuhan? Allah sentiasa menunggu mengirimkan berkatNya kalau kita sedia menerima.

Marilah kita bersama-sama sujud dan menyerah kepada Allah yang berjanji akan menyertai mereka yang menyintaiNya. Saya sudah menyerah. Saudari-saudari bagaimana?

Ooi Chui Seng

Recent Posts

Start typing and press Enter to search