Surat dari Belaga

Surat dari Belaga

Kepada,

Hamba-hamba Tuhan

 

Saudara,

Bersyukur saya kepada Tuhan kita Yesus Kristus kerana dapat menghubungi saudara di dalam lembaran ini.

Saya bersyukur atas pengalaman yang baharu diberi oleh Tuhan kepada saya pada tahun ini. Saya bersukacita atas hikmat dan pimpinan yang diberi olehNya untuk menjalani tugas sebagai seorang Guru Besar di sekolah tempat saya berkhidmat sekarang. Saya tidak sangka-sangka ditempatkan ke tempat ini. Tetapi setelah saya berada di tempat ini saya tahu dengan pasti bahawa Tuhan menghendakkan saya di sini. Saya percaya di mana-mana sahaja kita pergi, Iblis (Satan) tidak senang dan dia akan mengambil perhatian yang sungguh menggodai sesiapa yang percaya kepada Tuhan Yesus. Jangan hairan kalau kita dicobai, dicaki-maki, difitnah dan digodai dengan berbagai tindakan. Itu semua pekerjaan si Iblis.

Saya sendiri telah difitnah pada mulanya apabila saya datang ke sekolah ini. Puji Tuhan kerana saya terlebih dahulu sudah sedia untuk menerima berbagai ancaman yang datang kerana sudah dinyatakan di dalam Firman Tuhan bahawa kita akan menghadapi tekanan seperti ini. Oleh kerana itu saudara marilah kita berdiri teguh dan pintalah kuatkuasa Tuhan untuk mengukuhkan iman semasa dicobai. Sudah tentu Tuhan akan memberi kemenangan melalui Tuhan kita Yesus Kristus.

Keadaan sidang di Long Busang pada mulanya adalah sungguh menyedihkan hati. Ramai yang melakukan dosa terutama sekali di antara muda-mudi. Hampir semua tidak tekun di dalam Tuhan dan terbukti bahawa tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka adalah orang Kristian tiada terdapat pada kehidupan mereka. Setiap kali saya membawa Firman Tuhan kepada mereka seolah-olah tidak masuk akal kefahaman mereka. Tiada lama kemudian saya ditegurkan di dalam hati oleh Tuhan bahawa saya tidak sungguh-sungguh menyerahkan mereka ini ke dalam tangan Tuhan dan tidak mengambil banyak masa untuk berdoa dan menantikan kehendak Tuhan.

Glori kepada Tuhan kerana selepas Kristian Konvention di Long Bulan bulan April yang lalu, ada daripada mereka di sini telah pergi ke sana dan sungguh mereka diberkati. Tuhan memakai mereka dan tiada lama kemudian Roh Tuhan terus menggerakkan dan membangunkan sidang di Long Busang. Setelah Roh Tuhan bekerja nyata sekarang ada banyak perubahan di dalam kehidupan mereka. Mereka sangat aktif datang ke kebaktian sekarang. Hampir semua telah menerima kurnia bahasa Roh termasuk murid-murid tahun satu. Yang tidak pandai dan berani berdoa dahulu telah pandai berdoa dan bebas memuji nama Tuhan. Ada beberapa daripada mereka telah lihat tangan Kristus yang berlubang paku itu. Bila disiasat samada mereka berkata dengan jujur, saya dapat membuktikan dari kehidupan rohani mereka yang jauh sudah berubah iaitu kehidupan baharu atau ciptaan baharu yang sudah ada pada diri mereka tersebut.

Puji Tuhan kerana mereka dapat menerima nasihat tentang penggunaan kurnia Tuhan. Sekarang ini didapati bahawa mereka telah tahu cara menggunakan kurnia yang telah diberi dengan teratur dan berdisiplin. Sila bantu kami semua di dalam doa agar pekerjaan Tuhan yang hairan ini akan kekal terus menerus bekerja di antara penduduk-penduduk di sini. Ada beberapa lagi pekerjaan Tuhan yang lain juga berlaku di sini tetapi saya tak dapat taipkan semuanya.

Untuk makluman sahaja, di Long Busang kami ada kebaktian-kebaktian seperti berikut:

ISNIN – kebaktian doa bagi semua orang Kristian di dalam Daerah, Bahagian, Negeri dan Negara, hamba-hamba Tuhan.

SELASA                 – kebaktian dalam rumah tangga.

RABU – kebaktian umum

KHAMIS – kebaktian dalam rumah tangga

JUMAAT – kebaktian doa untuk banyak perkara seperti orang yang belum lagi percaya

SABTU – kebaktian umum

Semua yang di atas berjalan pada waktu malam di rumah panjang dan di gereja. Bagi semua murid-murid kami kurangkan penglibatan mereka supaya banyak menumpukan perhatian mereka pada pembelajaran masing-masing. Buat masa ini kami tidak ada mempunyai Pastor. Walaupun demikian, Tuhan memakai pelayan-pelayan (deakon) dengan mendorongkan selama ini.

Untuk makluman saudara besar kemungkinan bahawa saya akan berpindah ke tempat yang lain tahun depan. Ini disebabkan oleh isu sensitif yang bangkit tiada lama dahulu yang saya telah beritahukan. Di mana-mana saya ditempatkan sudah tentu saya perlukan doa saudara agar Tuhan tetap mencurahkan kuasa dan berkatNya untuk melayani Dia.

Sampai sini dahulu dari saya dan harapan Tuhan sentiasa memberkati saudara di mana sahaja saudara berada.

Dalam kasih Kristus,

Saudara Langit Pit

Recent Posts

Start typing and press Enter to search