Seorang Yang Melihat Potensi Murid-Muridnya

Seorang Yang Melihat Potensi Murid-Muridnya

Siri – Renungan Seorang Guru Kristian

Bahagian 2: “SEORANG YANG MELIHAT POTENSI MURID-MURIDNYA”

Sekiranya anda mempunyai peluang untuk memilih siapa yang anda akan mengajar, siapakah dan apakah ciri-ciri pelajar yang anda akan memilih? Jika anda seperti saya sudah tentu anda akan memilih pelajar yang pandai, rajin, dari keluarga dan latar belakang yang baik, cergas, berkelakuan baik dan taat.

Tetapi saya dapati senarai saya adalah berbeza sekali dengan senarai Cikgu Yesus. Mari kita tinjau beberapa orang yang dipilih khas oleh Tuhan Yesus untuk menjadi kedua belas rasul/muridNya.

Petrus (Simon), Andreas, Yakobus dan Yohanes adalah nelayan-nelayan (Markus 1:16-20). Pekerjaan sebagai nelayan tidaklah berstatus tinggi dan tidak memerlukan taraf kecerdikan yang tinggi.

Matius (yang juga dipanggil Lewi) pula adalah seorang pemungut ukai (Lukas 5:27-32) – iaitu orang yang paling dibenci oleh orang-orang Yahudi pada masa itu. Pemungut cukai terkenal sebagai orang yang gila wang dan kuasa, memeras ugut, tidak jujur dan hanya mementingkan diri.

Mungkinkah anda memilih orang-orang yang begini dengan sukarela? Mengapakah Yesus bertindak demikian? Lukas 5:31, 32 mungkin memberi rasionalNya.

Apabila Yesus dituduh oleh orang-orang Farisi dan ahli-ahli Taurat kerana Dia makan bersama-sama sekumpulan lintah darat (pemungut cukai), Dia menjawab “Bukan orang sehat yang memerlukan tabib(doktor), tetapi orang sakit; Aku datang bukan untuk memanggil orang benar tetapi orang berdosa, supaya mereka bertobat.”

Sekiranya kita cuba menyatakan ayat di atas dalam konteks alam perguruan, mungkin kita boleh katakan begini: “Bukan murid yang baik dan pandai yang memerlukan guru yang baik, dinamis dan menarik, tetapi murid yang tidak bermotivasi, lembab, lembam, nakal dan bermasalah; kita sebagai guru datang bukan untuk mengajar dan menolong murid-murid yang baik sahaja tetapi juga murid-murid yang bermasalah.”

Perspektif Cikgu Yesus ini adalah amat mencabar dan radikal! Tetapi jika kita memikirkan dengan lebih mendalam ianya sungguh-sungguh bermakna dan masuk akal. Malang sekali hal ini tidak dipraktikkan di sekolah. Biasanya guru yang dianggap baik dan berpengalaman diberi kelas yang baik.

Jika kita membaca Injil dengan baik, kita akan dapati bahawa Yesus sering ambil berat dan menghulurkan tangan untuk menolong mereka yang telah ‘dihapus kira’ oleh masyarakat umum –contohnya pemungut cukai, orang yang mengidap penyakit kusta (Lukas 5:12-15), orang yang miskin (Lukas 21:1-4), pelacur (Lukas 7:36-50), orang yang dirasuk setan (Lukas 8:26-39). Perbezaan yang ada pada Tuhan Yesus berbanding dengan orang lain ialah Dia dapat melihat potensi setiap individu.

Jadi, lain kali sekiranya kita tergamak untuk mengeluh kerana diberi kelas yang belakang, ingatlah perspektif Cikgu Yesus. Yesus mencabar zon keselesaan (comfort zone) dan prejudis kita. Yesus mencabar kita untuk melihat potensi murid-murid yang tergolong dalam “kumpulan yang tiada harapan” (the goners and the no-hopers).

Bukankah itu juga hasrat Falsafah Pendidikan Negara yang mengatakan “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memerkembangkan lagi potensi individu secaramenyeluruh dan bersepadu …”

Apabila saya fikirkan tentang hal ini saya ingat akan abang saya. Semasa di sekolah dia tidak suka belajar. Oleh kerana ini dia tidak dapat mencapai keputusan yang cukup baik dalam peperiksaan awam, walaupun dia mencuba beberapa kali. Mungkin anda boleh mengatakan bahawa dia boleh digolongkan dalam kumpulan murid yang tiada harapan.

Tetapi hari ini dia adalah seorang Ketua Penyunting di sebuah akhbar harian tempatan. Dia adalah seorang yang amat berjaya dalam kerjayanya serta diamanahkan untuk mengeluarkan surat khabar stiap hari yang dibaca oleh beribu-ribu orang.

Saya pasti kebanyakan guru dapat memberi contoh-contoh bekas peajar yang semasa di sekolah tidak begitu baik tetapi pada hari ini adalah orang yang amat berjaya.

SEORANG YANG SABAR DAN TEKUN MENGAJAR

Namun begitu saya sedar bahawa mengajar murid-murid yang bermasalah bukanlah satu tugas yang senang dan menyeronokkan. Saya pernah mengajar kelas yang belakang sekali dan yang mempunyai masalah disiplin. Betapa susahnya untuk masuk kelas tersebut setiap hari! Ia seperti satu peperangan yang tak pernah reda.

Sekali lagi, kita berpaling kepada Cikgu Yesus untuk menjadi iktibar dan pendorong kita dalam hal ini. Yesus menunjukkan banyak kesabaran dan ketekunan semasa Dia mengajar murid-muridNya. Mari kita merenungkan contoh berikut.

Pada suatu hari, timbul suatu pertengkaran di antara murid-murid Kristus mengenai siapakah yang terbesar di antara mereka (Lukas 9:46-48). Yesus mengambil seorang budak kecil, menempatkan dia di sampingNya dan berkata, “Barang siapa menyambut anak ini dalam namaKu, ia menyambut Dia, yang mengutus Aku. Kerana yang terkecil di antara kamu sekalian, dialah yang terbesar.”

Perbalahan ini timbul semula pada suatu masa yang lain selepas ini.(Baca Markus 10:35-45). Di sini Yakobus dan Yohanes minta tempat yang mulia di sebelah kanan dan kiri Yesus.

Kesepuluh-puluh murid yang lain menjadi marah apabila mendengar permintaan kedua-dua orang ini. Pada dasarnya, perselisihan di sini adalah sama seperti di Lukas 9 tadi iaitu: Siapakah yang terbesar di antara mereka?

Tuhan Yesus dengan penuh kesabaran mengajar mereka sekali lagi prinsip yang telah diajar dahulu. Malahan di sini Dia menggunakan diriNya sendiri sebagai contoh. Dia mengatakan, “Kerana anak Manusia (Yesus) juga datang bukan untuk dilayani, melainkan untuk melayani dan untuk memberikan nyawaNya menjadi tebusan bagi banyak orang.” (ayat 45)

Selain daripada ini, pada suatu masa yang lain pula, murid-muridNya juga telah mendengar Tuhan Yesus mengajar prinsip yang sama kepada ahli-ahli Taurat dan orang-orang Farisi (Baca Matius 23:10-12 – ‘… Barangsiapa terbesar di antara kamu, hendaklah ia menjadi pelayanmu. Dan barangsiapa meninggikan diri, ia akan direndahkan dan barangsiapa merendahkan diri, ia akan ditinggikan.’)

Sepatutnya murid-murid Yesus sudah mempelajari prinsip ini setelah “dilatihtubi” oleh Tuhan Yesus. Tetapi tidak! Pada malam terakhir sebelum Yesus ditangkap dan disalibkan, pertengkaran yang sama berlaku sekali lagi! (Lukas 22:24-27) Sangat sukar untuk mempercayai ini tetapi ia memang berlaku.

Apakah yang dilakukan oleh Yesus? Adakah Dia putus asa dan mengatakan, “Tiada gunalah kumpulan orang ini. Sudah diajar beberapa kali pun tidak dapat mempelajarinya.”

Tidak! Sebaliknya Tuhan Yesus mengambil sehelai tuala dan sebasin air lalu membasuh kaki murid-muridNya (Yohanes 13:4-17) Mengikut peraturan pada masa itu, kerja itu adalah khusus untuk hamba yang paling rendah. Yesus di sini dengan sabar mengajar semula prinsip itu serta memodelkannya.

Adakah anda menghadapi keadaan yang sama seperti di atas? Berapa kalikah anda telah mengajar formula Matematik itu? Berapa kalikah anda telah mendisiplinkan budak atau kelas itu? Berapa kalikah anda telah mengajar topik itu kepada murid-murid yang sama?

Saudara dan saudari yang dikasihi, Tuhan Yesus memahami frustrasi anda sebab Dia sendiri telah mengalami keadaan yang sama. Pergilah kepadaNya untuk mendapat azam yang baru sebagai seorang guru.

Sebelas murid-muridNya yang selalu merebut-rebut kedudukan yang tinggi pada akhirnya menjadi orang yang rendah hati sehingga mereka semua mati kerana iman mereka dalam Yesus Kristus. Kebanyakan mereka telah menempuh anyak masalah, penganiayaan dan derita. Tetapi demi orang lain yang belum mengenal keselamatan dalam Yesus Kristus, mereka rela mengorbankan diri seperti mana Guru mereka telah mengajar mereka.

Ya, semua jerih payah Tuhan Yesus tidaklah sia-sia. Cikgu Yesus menunjukkan bahawa jika kita hendak mengecapi buah usaha kita, maka kita mesti tabah, sabar dan tekun mengajar walaupun murid-murid kita lambat mempelajarinya.

Mari kita berdoa seperti Rasul Paulus di Kolose 1:9,11: “Kami meminta supaya kamu … dikuatkan dengan segala kekuatan oleh kuasa kemuliaanNya untuk menanggung segala sesuatu dengan tekun dan sabar.” Ingat: kita guru Kristian menanggung segala beban bukan dengan kekuatan sendiri tetapi dengan kekuatan dan kuasa yang datang dari Tuhan!

 

Ng Kee Chuan & Kwai Yok

 

Recent Posts

Start typing and press Enter to search