Seorang yang Menghargai Penilaian dan Maklum Balas

Seorang yang Menghargai Penilaian dan Maklum Balas

Siri – Renungan Seorang Guru Kristian

Bahagian 4: SEORANG GURU YANG MENGHARGAI PENILAIAN DAN MAKLUM BALAS MURID-MURIDNYA

Pada suatu hari, Cikgu Yesus sedang berbual dengan murid-muridNya dari hati ke hati (Matius 16:13-28).

“Kata orang, siapakah Anak Manusia itu?” Yesus bertanya. [‘Anak Manusia’ adalah salah satu gelaran untuk Cikgu Yesus.]

Murid-muridNya memberi jawapan mereka masing-masing: “Yohanes Pembaptis! Elia! Yeremia! Nabi!”

Tiba-tiba Cikgu Yesus menukar arah dan menumpu perhatian kepada pandangan peribadi murid-muridNya pula. “Tetapi apa katamu, siapakah Aku ini?” Cikgu Yesus bertanya.

Apakah tujuanNya menanya dua soalan yang peribadi itu? Saya rasa Cikgu Yesus sedang mendapat maklumbalas daripada murid-muridNya.  Dia telah bersama-sama mereka untuk lebih kurang 2 tahun – makan, minum, tidur, mengajar, merantau dan melayani bersama-sama.

Daripada dua soalan itu, Cikgu Yesus dapat:

  1. Menilai betapa berkesan latihan dan pengajaranNya.

 

  1. Mengetahui apakah pendapat peribadi murid-muridNya tentang diriNya.

 

  1. Mengenal pasti fahaman yang salah atau kekurangan yang ada pada murid-muridNya.

 

  1. Menentukan sama ada murid-muridNya telah bersedia untuk melanjut ke fasa latihan pemuridan yang lebih tinggi.

Ada kala kita sebagai guru-guru perlu menanya murid-murid kita dua soalan yang serupa dengan aga yang diajukan oleh Cikgu Yesus:

  • Apakah yang murid-murid lain kata tentang saya sebagai seorang guru?
  • Apakah yang anda kata pula tentang saya?

Biasanya kita terlalu asyik merancang, mengendalikan dan melaksanakan pengajaran kita sehingga kita lupa aspek yang amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran, iaitu penilaian.

Saya tidak bermaksud ujian bulanan dan peperiksaan yang biasa dijalankan di sekolah untuk menguji kefahaman murid-murid kita. Apa yang saya maksudkan ialah pandangan peribadi murid-murid kita tentang kita sebagai guru mereka.

Baru-baru ini, saya telah menjalankan satu kajian tindakan (action research) dengan guru-guru pelatih saya. Saya telah memberi mereka satu soalan selidik ringkas yang memerlukan mereka memilih lima kaedah pengajaran yang mereka paling suka saya gunakan dalam kelas.

Pada akhirnya soal selidik itu, mereka juga diberi peluang untuk memberi apa jua pandangan mereka tentang saya sebagai pensyarah mereka.

Oleh kerana nama tidak perlu ditulis, maka mereka lebih bebas memberi pandangan yang jujur.

Setelah saya mendapat balik borang-borang itu, saya dengan hati yang berdebar-debar mula membaca komen-komen mereka.

Pada mulanya saya lebih tergerak dengan kritikan-kritikan negatif mereka – walaupun ada lebih banyak komen positif daripada komen negatif. Itu ialah sifat manusia yang tidak suka dikritik! Memang benar bahawa satu kritikan boleh menyelubungi seribu pujian!

Ada kala saya rasa sedih dan geram serta ingin mempertahankan diri saya. Saya begitu angkuh sekali!

Tetapi lama kelamaan saya mula merendah diri untuk mengatasi keangkuhan saya. Pada masa itu, barulah saya dapat melihat kebenaran kritikan guru-guru pelatih saya.

Saya berazam untuk mengubah kelemahan-kelemahan saya sebagai seorang guru dan saya menjadi lebih peka kepada keperluan pelatih-pelatih saya.

Selain itu, saya juga terdorong dengan komen-komen positif guru-guru pelatih saya.

Daripada kajian yang ringkas itu, saya banyak belajar tentang diri saya terutama dari kaca mata orang lain. Saya juga mendapat petunjuk untuk berubah supaya saya dapat berkembang sebagai seorang pendidik.

Apakah kata anda juga cuba mendapat pandangan murid-murid anda tentang pengajaran anda. Tetapi, anda harus bersedia untuk menerima kritikan!

Amsal 9:7-9 mempunyai kata-kata hikmat untuk kita semua:

Siapa mendidik seorang pencemuh (mocker), mendatangkan cemuh kepada dirinya sendiri, dan siapa mengecam orang fasik (wicked man), mendapat cela.

Jangan mengecam seorang pencemuh, supaya engkau jangan dibencinya.

Kecamlah orang bijak, maka engkau akan dikasihinya, berilah orang bijak nasihat, maka ia akan menjadi lebih bijak, ajarilah orang benar, maka pengetahuannya akan bertambah.

Dalam hal ini, kita didorong menjadi orang yang bijak dan bukan seorang pencemuh. Memang benar bahawa seorang yang bijak akan menjadi lebih bijak kerana dia terbuka untuk menerima ajaran dan kritikan orang lain.

Dalam konteks kita sebagai seorang guru, sumbr utama bagi maklum balas terhadap pengajaran kita adalah pelajar-pelajar kita sendiri.

Cikgu Yesus menghargai maklum balas murid-muridnya. Apabila Simon Petrus menjawab, “Engkau adalah Mesia, Anak Allah yang hidup!” dia telah memberi maklum balas yang sangat berharga kepada Cikgu Yesus.

Sejak itu, perhubungan mereka menjadi lebih erat. Alkitab mengatakan: “Sejak waktu itu Yesus mulai menyatakan kepada murid-muridNya bahawa Ia harus pergi ke Yerusalem dan menanggung banyak penderitaan dari pihak tua-tua, iman-iman kepala dan ahli-ahli Taurat, lalu dibunuh dan dibangkitkan pada hari ketiga.” (Matius 16:21)

Cikgu Yesus mula mempercayakan keikhlasan murid-muridNya dengan mendedahkan misi utama kedatanganNya yang pertama – iaitu untuk datang menebus dosa manusia dengan mengorbankan diriNya.

Perhubungan mereka meningkat ke tahap yang lebih tinggi dan mendalam.

Saya rasa perhubungan kita dengan pelajar-pelajar kita juga boleh berkembang jika kita membuka diri kita seperti mana Cikgu Yesus membuka diriNya kepada murid-muridNya.

Mengajar bukan hanya menyampaikan maklumat secara satu hala. Pendidikan adalah satu perhubungan dua hala di mana kedua-dua pihak saling mengajar dan belajar.

Saya sedr bahawa ini adalah satu perkara yang bukan senang untuk dilakukan. Secara umum kita rasa lebih selamat jika kita mengekalkan jarak di antara kita dengan pelajar-pelajar kita. Kita mungkin juga risau bahawa kita akan hilang kuasa dan kewibawaan sebagai seorang guru jika kita membenarkan pelajar-pelajar menilai pengajaran kita.

Saya tidak setuju dengan pendapat umum yang tersebut di atas. Sebaliknya, saya rasa pelajar-pelajar akan lebih menghormati seorang guru yang menghargai pendapat mereka dan berusaha untuk menjadi seorang guru yang lebih berkesan.

Pelajar-pelajar dapat mengenal pasti usaha ikhlas seorang guru untuk meningkatkan mutu pengajarannya.

Cikgu Yesus menghargai penilaian dan maklum balas murid-muridNya. Bagaimana dengan anda?

Amsal 26:24 mengatakan: Jawaban yang jujur membuktikan persahatan yang sejati.

 

Ng Kee Chuan dan Kwai Yok

 

 

Recent Posts

Start typing and press Enter to search