Bersua Margerita Murib

Bersua Margerita Murib

Saudari berasal dari mana?
Saya berasal dari Kapit, Bahagian Ketujuh.

Bagaimanakah dan bilakah kamu mengenal Tuhan Yesus sebagai Juruselamat mu?
Saya dilahirkan di dalam keluarga Kristian tetapi saya menerima Yesus sebagai Tuhan dan Juruselamat saya sewaktu roh Allah bekerja di dalam saya semasa saya mendengar firmannya di dalam satu kebaktian pemuda-pemudi (ISCF Camp) di Kapit, 1976.

 

Bolehkah saudari menceritakan serba-sedikit tentang pengalaman sewaktu mengikuti persekutuan ISCF semasa di sekolah?
Boleh, semasa di sekolah dulu, saya memang selalu mengikuti persekutuan ISCF kerana di sinilah saya dapat mempelajari firman Tuhan dengan cara yang dapat saya fahami dan berkumpul dengan murid-murid sekolah yang lain, berdoa, dan menyanyi lagu-lagu pujian untuk Tuhan. Di dalam persekutuan ISCF, saya banyak memperolehi bantuan di dalam kehidupan dan pertumbuhan rohani saya di dalam Tuhan. Hallelujah!
Bagaimanakah saudari mula-mula mempunyai beban terhadap pemuda-pemudi?
Selepas bersekolah, saya mengajar selama 2 tahun. Tuhan telah membuka jalan di mana saya dapat menolong di dalam persekutuan ISCF di sekolah. Pada masa itulah, Tuhan memberi kesedaran kepada saya tentang keperluan rohani pemuda-pemudi dan betapa pentingnya mereka mengenal akan keselamatan di dalam Yesus Kristus dan hidup sesuai dengan rencana Allah.
Bagaimanakah saudari mengetahui bahawa Tuhan telah memanggil saudari untuk melayani Dia melalui ikatan Pembaca Alkitab (Scripture Union)?
Saya percaya Tuhan telah memimpin setiap langkah saya. Pada mulanya saya tidak tahu di mana saya harus melayani Dia. Setelah saya belajardi Maktab Injil Malaysia selama 3 tahun, Tuhan telah memberi satu keyakinan kepada saya untuk melayani pemuda-pemudi melalui ikatan Pembaca Alkitab.
Adakah membaca buku-buku Kristian berguna pada pendapat saudari?
Tentu sekali berguna. Membaca buku-buku Kristian mempunyai tempat di dalam kehidupan kita. Saya sedar bahawa saya sendiri agak lemah di dalam hal ini.
Bolehkah saudari berikan tajuk dua buah buku yang sungguh mendatangkan faedah kepada saudari?
‘Pursuit of Holiness’ oleh Jerry Bridges
‘A Friend in Need’ oleh Selwyn Huges
Kedua-dua buku ini mudah difahami dan memberi ajaran yang baik buat saya.
Apakah ajaran-ajaran yang saudari rasa sungguh istimewa sekali yang saudari pelajari di Sekolah Alkitab?
Pengetahuan saya di dalam firman Tuhan lebih mendalam jikalau dibandingkan dengan sebelumnya, ataupun sekiranya saya tidak ke Sekolah Alkitab.

Saya sedar bahawa pengetahuan yang hanya tinggal pengetahuan juga tidak berguna. Pengetahuan itu seharusnya mempengaruhi seluruh kehidupan seseorang itu sehingga dia menjadi satu saluran berkat kepada orang lain demi kemuliaan nama Tuhan. Saya juga sedar bahawa persekutuan di antara anak-anak Tuhan sungguh penting sekali. Salah fahaman mudah sekali berlaku, tetapi hal ini tidak harus dibiarkan jika kita sedar akan kedudukan kita.

Saya telah banyak belajar dari kehidupan guru-guru saya di Sekolah Alkitab. Dari sinilah saya sedar bahawa setiap anak-anak Tuhan haruslah menyinarkan kehidupan Kristus di dalam diri mereka.

 

Apakah perbezaan di antara seorang guru Kristian daripada seorang guru biasa?
Seorang guru Kristian mempunyai satu kesedaran bahawa ia bertanggung jawab di hadapan Tuhan terhadap kehidupannya dan pelayanannya setiap hari, baik di rumah ataupun di sekolah atau di mana-mana sahaja.
Apakah saudari mempunyai pesanan untuk guru-guru yang seiman di Sarawak?
Dengarlah! Apakah Tuhan menyatakan sesuatu kepadamu melalui ayat ini?
Yehezkiel 34:6
“Domba-dombaku berserak dan tersesat di semua gunung dan di semua bukit yang tinggi, ya, di seluruh tanah itu (Sarawak) domba-dombaku berserak, tanpa seorangpun yang memperhatikan atau mencarinya.”

Yesaya 6:8
Lalu aku mendengar suara Tuhan berkata: “Siapakah yang akan Kuutus, dan siapakah yang mau pergi untuk Aku?” Maka sahutku: “Ini aku, utuslah aku.”
Marilah kita mengenal kedudukan kita di dalam Tuhan, kuasa Allah yang ada pada kita, janji-janji Allah untuk kita dan mencari domba-domba Allah itu dengan penuh kesedaran.
Di mana sahaja saudara atau saudari berada, di hulu atau di hilir, di sebelah timur atau di barat, di sebelah utara atau selatan, sekarang adalah masanya untuk bangun, bersiap sedia dan bertindak untuk Tuhan.

 

Temuduga dibuatkan oleh Irene Encung

Recent Posts

Start typing and press Enter to search