Bersama-sama Cikgu Yesus

Bersama-sama Cikgu Yesus

Siri – Renungan Seorang Guru Kristian

Bahagian 1: “BERSAMA-SAMA CIKGU YESUS”

Cikgu Yesus – mungkin kita jarang memanggil Tuhan Yesus dengan gelaran ‘cikgu’ tetapi Alkitab memang menggambarkanNya sebagai seorang guru.

Di Yohanes 1:30, dua pengikut Yohanes Pembaptis memanggil Yesus ‘Rabbi’ (ertinya: Guru) dan panggilan ini sering ditujukan kepada Yesus. (Lihat Matius 8:19; 12:38; 22:16, 24; Markus 4:38 dan lain-lain).

Rabbi, guru, cikgu – itu adalah gelaran yang diberikan kepada seorang yang mengajar orang lain sesuatu ilmu, pengetahuan atau kemahiran.

Kita yang terlibat dalam bidang perguruan boleh mempelajari banyak hal dengan meneliti kehidupan Tuhan Yesus. Dialah teladan dan model seorang guru kita yang terbaik. Maka dalam siri ini, kita akan meneliti bersama-sama gaya, visi, perspektif dan kaedah Cikgu Yesus – Guru Segara Guru (Teacher of Teachers)!

SEORANG YANG MENGHARGAI ILMU

Kita memulakan tinjauan kita di Lukas 2:40-52. Pada masa itu, Yesus baru berumur 12 tahun. Yesus telah pergi ke Yerusalem bersama-sama ibubapanya untuk perayaan Yahudi yang paling besar iaitu Hari Raya Paskah.

Umur 12 tahun adalah masa kanak-kanak biasanya suka main bersama-sama. Mungkin ini adalah anggapan ibubapa Yesus juga. Sementara mereka sibuk dengan aktiviti beribadah mereka menyangka Yesus bersama-sama dengan kanak-kanak ahli keluarga dan kenalan mereka (ayat 44). Jadi, mereka tidak kuatir apabila Yesus tidak bersama-sama mereka apabila mereka memulakan perjalanan balik ke Nazaret selepas menunaikan kewajipan ibadat.

Hanya selepas mereka telah menghabiskan satu hari perjalanan jauhnya, baru mereka sedar bahawa anak mereka tidak ada dalam rombongan yang balik ke Nazaret. Mereka terus patah balik ke Yerusalem untuk mencariNya.

Sesudah tiga hari mencari-cariNya, baru mereka menjumpai Yesus. Di manakah Dia berada pada masa itu? Adakah dia bermain-main di taman permainan? Atau adakah dia melepak dengan budak-budak yang lain di kedai-kedai dan pusat hiburan? Tidak – dia berada di Bait Allah (God’s Temple) (ayat 46).

Lebih menghairankan lagi ialah budak itu “sedang duduk di tengah-tengah alim ulama (iaitu pakar-pakar ugama pada masa itu) sambil mendengarkan dan mengajukan pertanyaan-pertanyaan kepada mereka.” (ayat 46)

Saya rasa kagum dengan gambaran yang terdapat di sini – seorang budak yang berumur dua belas tahun mencintai dan mencari ilmu wa___. Dia boleh melakukan baynyak yang lebih menyeronokkan pada peringkat umurnya.

Ini adalah satu sifat yang penting untuk kita guru-guru mencontohi – selalu mencintai dan mencari ilmu. Salah satu sebab mengapa guru-guru yang telah lama berkhidmat berasa bosan dengan pekerjaan mereka ialah mereka telah berhenti belajar. Tahun demi tahun mereka mengajar perkara yang sama – tiada yang baru. Sudah tentu keadaan ini akan mendatangkan kejemuan.

Seorang guru pernah ditanya, “Apakah sebabnya anda terus-menerus belajar?” Dia menjawab, “Saya lebih suka pelajar-pelajar saya minum dari air sungai yang mengalir daripada kolam yang bertakung!”

Baru-baru ini, saya sempatberbual dengan seorang penerbit buku. Dia membuat satu komen yang saya masih ingat iaitu, “Jika anda mahu menulis buku tulislah buku yang ditujukan kepada pelatih-pelatih maktab. Mengikut pengalaman saya kebanyakan mereka yang telah keluar dari maktab tidak mahu membeli buku lagi.”

Itu adalah satu hakikat yang menyedihkan kerana jika seorang guru tidak berminat membeli buku, itu bermaksud dia telah berhenti belajar. Dia tidak lagi mencari ilmu, idea dan kemahiran yang baru. Dalam kata lain dia telah berhenti bertumbuh dalam alam perguruan.

Dalam zaman ledakan maklumat ini, guru-guru tidak dapat mengabaikan ilmu baru yang dicernakan setiap hari. Kita tidak boleh membiarkan diri kita menjadi guru yang ketinggalan zaman.

Satu lagi pemerhatian … pernahkah anda berfikir bahawa jika Tuhan Yesus hendak belajar, Dia boleh pergi terus kepada Allah Bapa atau menggunakan sifat keilahianNya? Ataupun, sekurang-kurangnya Dia boleh minta Bapa mengutus malaikat kepadaNya. Namun begitu, Dia tidak memilih opsyen-opsyen ini.

Ini menunjukkan satu lagi sifat istimewa Cikgu Yesus – rendah hati untuk belajar daripada orang lain. Saya dapati bahawa jika saya peka kepada pelajar-pelajar, saya dapat belajar daripada mereka. Ada kala, mereka menunjukkan jalan penyelesaian matematik yang lebih ringkas. Tugasan-tugasan yang guru-guru pelatih hantar kepada saya untuk disemak mengandungi ilmu yang baru kepada saya. Selain daripada ini, semasa saya berinteraksi dengan mereka saya juga dapat belajar perkara baru.

Saya masih ingat semasa saya dilantik menjadi ketua rumah sukan di sekolah lama saya. Salah satu daripada aktiviti temasya sukan itu ialah pertandingan membina pondok rumah sukan. Seumur hidup saya, saya tidak pernah membina sebuah pondok – satu pondok anjing pun tak pernah! Memang ada satu jalan penyelesaian yang mudah bagi saya iaitu mengarahkan murid-murid saya membuat pondok itu. Tetapi saya tidak memilih cara penyelesaian ini.

Sebaliknya, saya duduk bersama-sama murid-murid saya untuk merancang bentuk pondok, mengumpul bahan-bahan binaan dan selama dua hari dan dua malam kita membina pondok itu. Semua usaha dan jerih payah kita akhirnya mendapat hasil apabila kita menang pondok rumah sukan yang paling baik.

Semasa saya merendahkan diri dan melibatkan diri saya untuk melakukan kerja pembinaan dengan tunjuk ajar dari murid-murid saya, saya memperolehi ilmu dan kemahiran baru.

Kita boleh belajar daripada pelajar-pelajar kita. Selain daripada ini, kita patutmenjadi model seorang yang belajar seumur hidup kepada pelajar-pelajar kita.

SEOROANG YANG MENGENAL PANGGILAN ALLAH

Kita kembali kepada cerita Yesus di Bait Allah. Apabila ibubapa Yesus mengemuiNya, mereka mengatakan, “Nak, mengapakah Engkau berbuat demikian terhadap kami? BapaMu dan aku dengan cemas-cemas mencari Engkau.”

Perhatikan jawapan Yesus yang ketara: “Mengapa kamu mencari Aku? Tidakkah kamu tahu, bahawa Aku harus berada di rumah Bapaku?”

Di sini kita dapati bahawa walaupun Yesus hanya berumur 12 tahun, dia sedar akan panggilan Allah dalam kehidupanNya. Sepanjang masaNya di dunia ini, panggilan Allah tidak pernah pudar. Dia tetap setia kepada anggilan Allah sehingga masa yang paling gelap dan susah di kayu salib.

Bagaimana pula dengan kita? Bolehkah kita menganggap pekerjaan kita sebagai panggilan Allah? Saya rasa kita patut mempunyai pegangan ini selagi kita berada dalam alam perguruan.

Kolose 3:23-24 mengatakan: “Apapun juga yang kamu perbuat, perbuatlah dengan segenap hatimu seperti untuk Tuhan dan bukan untuk manusia. Kamu tahu, bahawa dari Tuhanlah kamu akan menerima bagian yang ditentukan bagimu sebagai upah. Kristus adalah tuan dan kamu hambaNya.

Erti ayat ini adalah jelas – pekerjaan kita adalah panggilan dan pelayanan kepada Allah sebagaimana menggembala (pastoring) adalah juga penggilan dan pelayanan kepada Allah. Kita tidak patut membezakan yang sekular dengan yang rohani. Pekerjaankita sebagai guru adalah penting kepada Allah.

Pada hari ini, pekerjaan seorang guru tidaklah mudah. Banyak cabaran dan tekanan yang kita mesti harungi. Apakah yang akan menolong kita menangani keadaan ini dengan tabah? Satu cara ialah dengan mengingatkan diri bahawa pekerjaan kita sebagai seorang guru adalah panggilan Allah untuk kita. Perspektif ini akan mendorong kita untuk berkhidmat dengan cemerlang. Ingat: Kita melayani Tuhan dan bukan manusia. (Efesus 6:7)

Ng Kee Chuan dan Kwai Yok

Recent Posts

Start typing and press Enter to search